Seramai 120 pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Bali, Pasir Puteh yang terkesan dalam tragedi banjir kilat dua minggu lepas menerima sumbangan daripada jutawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Al Amin.

KUALA LUMPUR – Seramai 120 pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Bali, Pasir Puteh di sini yang terkesan dengan banjir kilat dua minggu lepas menerima sumbangan daripada usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Al Amin, hari ini.

Murid-murid itu yang terdiri dalam kalangan golongan tidak berkemampuan antara lain mendapat sumbangan peralatan sekolah bagi membantu mereka memulakan sesi persekolahan bermula hari ini.

Mohamad Azlan berkata, beliau juga akan menyalurkan bantuan-bantuan lain kepada sekolah selepas ini.

“Sekolah ini bersempadanan dengan tempat saya iaitu Besut. Sejak mula tragedi banjir saya bersama-sama warga syarikat Hajiland telah mula turun padang di Terengganu dan Kelantan untuk membantu apa yang perlu termasuk bantu selamatkan penduduk terperangkap dalam banjir.

“Apabila banjir sudah mula surut ini, kita mula bantu keperluan-keperluan lain termasuk membersihkan rumah selain daripada menyalurkan bantuan keperluan asas  dan kewangan kepada yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan memohon kepada ahli perniagaan membantu golongan memerlukan pada setiap masa.

“Kita tidak boleh hanya berharap kepada kerajaan semata-mata sebaliknya selagi yang boleh marilah kita semua sama-sama tampil bantu bagi meringankan bebanan bak kata pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’,” ujarnya. -MalaysiaGazette