Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang pelajar politeknik mengalami kerugian sebanyak RM57,488 apabila terjebak dengan sindiket pekerjaan sambilan secara atas talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed berkata, penuntut yang berusia 19 tahun itu telah melakukan lima kali transaksi pemindahan wang kepada akaun yang berlainan.

“Mangsa telah melihat iklan di laman media sosial Instagram di mana mangsa dikehendaki melaburkan modal terlebih dahulu dan mangsa dijanjikan pulangan wang hasil dari pelaburan tersebut pada kejadian 19 Disember 2022 lalu.

“Mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Pelajar itu menggunakan wang simpanan sendiri, pinjam dari rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang merupakan pesara guru sekolah sebagai modal,” katanya.

Menurut Ramli, merasakan diri tertipu dan tidak mendapat hasil pulangan yang dijanjikan, mangsa tampil membuat laporan polis berhampiran.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette