Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan terdapat individu menggunakan kad Touch N Go milik mangsa tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dakwaan itu tular menerusi hantaran dalam laman Facebook yang dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarga mangsa.

Katanya, polis telah menerima dua laporan berkaitan isu itu daripada ahli keluarga mangsa.

“Kita telah menerima laporan polis pada jam lebih kurang 2.47 petang tadi berkaitan penggunaan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh itu dan kertas siasatan telahpun dibuka manakala siasatan sedang dijalankan polis dalam kes itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tersebut dan daripada jumlah itu seramai 61 terselamat, manakala 31 orang lagi termasuk kanak-kanak terkorban.

Menurut Suffian, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Suffian menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dengan menularkan perkara yang belum dipastikan kesahihannya. – MalaysiaGazette