Seramai 11 lelaki beragama Islam ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) susulan berada dalam pengaruh alkohol di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar sekolah menengah antara 11 lelaki yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas didapati mengambil minuman keras di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney, di sini, awal pagi tadi.

Rata-rata mereka yang terdiri daripada pekerja sektor perkilangan dan kesihatan itu ditahan menerusi Ops Bersepadu Tahun Baharu yang dilakukan JHEAIPP dengan kerjasama pihak polis bermula jam 11.45 malam hingga 3 pagi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin berkata, kesemua lelaki beragama Islam berusia lingkungan 16 dan 38 tahun itu ditahan ketika sedang minum minuman keras di premis terbabit.

Jelas beliau, 11 individu itu turut dilaporkan sedang berhibur sambil menunggu detik 12 tengah malam sempena tahun baharu hingga membuatkan mereka tidak sedar akan kehadiran pihak berkuasa.

Mohd Azizon.

“Bagaimanapun, cubaan melarikan diri berlaku selepas menyedari kehadiran kami namun pihak polis telah mengawal ketat di setiap jalan keluar premis itu sekali gus membuatkan kesemua mereka gagal meloloskan diri.

“Susulan itu, kita jalankan pemeriksaan sebelum mendapati 11 lelaki Islam termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang masih bersekolah berada dalam pengaruh alkohol,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Azizon berkata, remaja itu memberi alasan pertama kali berkunjung ke pusat hiburan atas ajakan rakan-rakannya manakala seorang lelaki berusia 30-an pula mendakwa konon datang bersama tunangnya warga Indonesia.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua lelaki terbabit merupakan anak jati Pulau Pinang dan berdasarkan alamat pada kad pengenalan ada yang datang dari kawasan yang sama antaranya di Batu Kawan.

Kesemua 11 individu termasuk remaja bawah umur itu merupakan anak jati Pulau Pinang.

“Kita akan menghubungi waris individu terbabit bagi tujuan ikat jamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu meminum minuman memabukkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette