Banjir hampir surut ketika tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Baru Cenderawasih, Pekan hari ini

BENCANA banjir merupakan salah satu bencana alam yang sangat kerap berlaku di negara Malaysia. Banjir yang teruk melanda beberapa negeri tertentu dengan kerap terutamanya di sebelah pantai timur ini telah mengakibatkan kesan yang besar kepada penduduk terutamanya kemusnahan harta benda, pertanian, penternakan, kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik. Kemusnahan tersebut menimbulkan gangguan terhadap bekalan asas makanan, pakaian dan air bersih.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran, dalam tempoh sedekad lalu, Malaysia telah ditimpa beberapa kejadian banjir besar dan teruk. Walaupun luas kawasan yang mengalami banjir dianggarkan hanya 29,000 kilometer persegi atau sembilan peratus sahaja daripada keluasan keseluruhan negara ini, lebih daripada 2.7 penduduk negara sebenarnya terlibat dengan bencana alam tersebut.

Suasana banjir pada setiap tahun akan menyaksikan tempoh tersebut menjadi medan pelbagai pihak dalam negara untuk menzahirkan keprihatinan serta solidariti mereka terhadap mangsa-mangsa banjir tersebut daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara perseorangan atau individu. Pihak-pihak tersebut tidak akan ketinggalan untuk turun menolong dan menghulurkan bantuan dari pelbagai aspek sama ada dari segi bantuan tenaga kerja, kewangan mahupun membekalkan keperluan asas seperti makanan dan pakaian untuk
meringankan beban mangsa-mangsa banjir tersebut.

Operasi-operasi lain yang sering menjadi tumpuan sukarelawan yang turun membantu seperti pembersihan kawasan sekolah, rumah-rumah kediaman, masjid dan surau serta penyediaan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan juga giat dilaksanakan. Bantuan, pertolongan serta solidariti yang ditunjukkan oleh sebahagian besar rakyat dalam pelbagai aspek menjadi bukti serta saksi keharmonian yang wujud dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Suasana ini juga turut melambangkan bahawa rakyat hidup bermuafakat dan meletakkan amalam membantu antara satu sama lain sebagai keutamaan dalam kehidupan bersama tanpa mengira latar belakang kaum, budaya, agama malah sanggup mengenepikan ideologi politik yang berbeza antara mereka. Setiap masalah, kesulitan serta kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat ketika banjir ini seakan turut dirasai oleh masyarakat lain yang tidak terjejas akan besarnya bebanan masalah yang ditanggung seperti cubit peha kanan, peha kiri terasa.

Kepelbagaian bentuk bantuan terutamanya dari sudut material seperti pakaian, perabot, perkakas rumah serta makanan daripada pelbagai pihak tanpa putus menunjukkan dengan jelas sifat prihatin, empati serta belas kasihan kepada mangsa yang terjejas dengan harapan dapat membantu mereka mengharungi keadaan sekarang sehingga dapat meneruskan kehidupan pasca banjir. Amalan bermasyarakat yang dizahirkan ini amat sinonim dengan satu peribahasa Melayu yang biasa didengari iaitu ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.

Seluruh rakyat Malaysia seharusnya meneruskan momentum untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini secara konsisten agar bebanan yang ditanggung oleh mereka sedikit sebanyak dapat dikurangkan. Apatah lagi situasi getir yang dihadapi negara ketika ini dijangka berterusan selewat-lewatnya sehingga bulan Februari tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun hadapan akan menyebabkan peningkatan kepada taburan hujan. Oleh itu, masyarakat perlu saling cakna dan mengambil berat untuk mengharungi ujian serta cabaran bencana yang dihadapi ketika ini kerana rakyat Malaysia umpama satu batang tubuh yang bersatu, sentiasa bergerak bersama dalam membantu memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Aminun Nabil Ahmad Syahir
Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh & Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya