Gambar hiasan

PETALING JAYA – Larangan pembukaan kedai loteri di Kedah mulai 1 Januari 2023 dijangka menyebabkan Kerajaan Persekutuan kerugian hampir RM2O juta dalam bentuk cukai, tetapi akan membolehkan sindiket perjudian haram mengaut transaksi sehingga RM495 juta setahun.

Sumber daripada industri loteri memberitahu Sinchew Daily, sektor itu membayar pelbagai jenis cukai kepada Kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri pula mendapat hasil melalui cukai pintu dan pelbagai lesen yang mencecah berpuluh ribu ringgit.

Kata sumber, penutupan kedai nombor ramalan tidak akan menghentikan tabiat berjudi, tetapi akan menyebabkan pengguna memilih loteri bawah tanah, sekali gus merancakkan aktiviti pasaran gelap.

Keadaan itu, menurut sumber dari industri loteri, juga akan menyebabkan lebih banyak masalah kemasyarakatan.

“Mulai 2023, pasaran gelap akan menguasai sepenuhnya industri loteri di Kedah.

“Pembeli yang mahu membeli loteri akan beli terus dari pasaran gelap tanpa berfikir sama ada ia sah atau tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.

Ujar sumber itu lagi, banyak kedai telefon kini telah menjadi “kedai loteri” dan perniagaan mereka di Kedah juga sangat rancak.

“Bagaimana kerajaan boleh melakukan penguatkuasaan? Bagaimana mereka mampu mengekang pertumbuhan pasaran gelap selepas ini?”

Dianggarkan, jualan loteri untuk setiap sesi mencecah RM600,000 hingga RM700,000 di Kedah dan jumlahnya adalah tiga kali ganda lebih tinggi di pasaran gelap.

Disebabkan pasaran gelap mempunyai sesi yang lebih banyak, maka jualan mereka boleh mencecah RM3 juta di Kedah dan jika didarab dengan 165 sesi, maka jumlah transaksi di pasaran gelap mencecah RM495 juta setahun.

Sinchew Daily juga melaporkan, susulan daripada penutupan kedai loteri sah di Kedah, pasaran gelap mendapat permintaan tinggi dan telah menurunkan nilai kemenangan loteri mereka. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Diharap pihak berkuasa/polis lebih proaktif dan bersungguh2 memantau dan menyiasat dakwaan pasaran gelap diatas. Ayuh semua berganding bahu!

  2. Apa larangan pun menguntungkan pasaran gelap spt ketum dan arak samsu. yang penting penguatkuasaan yang cekap dapat menguntungkan kerajaan melalui hasil rampasan dan denda yang di kenakan.

Comments are closed.