KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menangguhkan perbicaraan bela diri bagi tuduhan rasuah RM2.8 juta berhubung pelaburan FELCRA dalam unit amanah Public Mutual.
Untuk makluman, sepatutnya perbicaraan bela diri kes rasuah membabitkan pasangan suami isteri itu bermula pagi ini namun penangguhan dibenarkan bagi menunggu keputusan rayuan mereka berhubung prosiding ini di Mahkamah Rayuan.
Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat ketetapan itu penangguhan tersebut sebentar tadi dan ianya tidak mendapat bantahan pendakwaan.
Bung dan Zizie bertindak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lepas yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang telah meminta kedua-dua tertuduh membela diri.
Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan kedua-duanya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Mereka dijadual memberi keterangan secara bersumpahdari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. -MalaysiaGazette