Aishah Radhiah Adnan

KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan udara MIHARA Aviation menawarkan penerbangan dengan helikopter dengan pakej serendah RM298 bagi seorang untuk tempoh enam minit.

Ketua Pegawai Eksekutif MIHARA Aviation, Aishah Radhiah Adnan berkata, tawaran ini bertujuan merancakkan industri pelancongan menerusi pengalaman unik kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Selain itu, tawaran yang dibuat oleh MIHARA Aviation ini bertujuan untuk mengubah persepsi bahawa perkhidmatan jet peribadi mahupun helikopter hanya boleh digunakan oleh golongan berada.

“MIHARA Aviation mahu memberitahu seluruh Malaysia bahawasemua orang mampu menaiki pengangkutan ini sebagai kenderaan atau untuk melakukan aktiviti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Aishah berkata, dengan  pakej serendah RM298 seorang bagi tempoh enam minit, individu boleh menikmati panorama di bandar-bandar dari langit.

Katanya, pihaknya menyediakan beberapa pakej antaranya “fixed wing” RM4,000 seorang selama satu jam, penerbangan helikopter peribadi (RM8,500/jam), fotografi perkahwinan (RM9,980/seorang) dan pakej untuk mendarat di atas kapal pelayaran dikenakan tambahan RM300.

Selain itu, MIHARA Aviation turut menyediakan cadangan pakej berkumpulan iaitu seramai lima orang bagi setiap perjalanan dengan harga RM298 seorang untuk tempoh enam minit manakala RM698 bagi tempoh 15 minit.

Jelas Aishah, pihaknya akan menawarkan perkhidmatan sewa peribadi untuk penerbangan asas untuk fotografi perkahwinan, pelancaran produk, pemotretan dan lain-lain.

Katanya, selain menawarkan perkhidmatan kepada individu dan kumpulan, syarikat itu turut meneroka kerjasama strategik dengan hotel, syarikat pelancongan dan semua rakan kongsi berpotensi yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, Pengurus Besar MIHARA Aviation, Mohd Badrul Aswani berkata, MIHARA sedang menyediakan pasukan untuk bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi penyelidikan di dalam dan peringkat antarabangsa untuk menawarkan perkhidmatan teksi udara dalam masa terdekat ini.- MalaysiaGazette