Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Selang dua hari selepas membuat kenyataan bahawa Ahli Parlimen pembangkang termasuk dirinya tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini berkata kerajaan telah menyalurkan peruntukan kepada penyokong Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Arau itu berkata beliau mendapat maklumat bahawa peruntukan itu telah diberikan kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen dari kerajaan telah mendapat peruntukan.

“Hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh Pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto PH iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel berkaitan: Tuduhan Shahidan berniat jahat – Sany

Isnin lalu, Shahidan mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan untuk tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.

Bagaimanapun, beliau menyatakan akan membuat perbincangan secara berterusan bersama pihak terlibat bagi memastikan isu berkaitan peruntukan dapat diselesaikan.

Kenyataan Shahidan kemudiannya ditempelak Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang berkata kenyataan itu hanyalah cubaan untuk ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan agar mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

Mengulas mengenai perkara itu, Shahidan mendakwa beliau tidak perlu mendengar kata-kata Sany dan hanya akan mendapatkan penjelasan Anwar mengenai perkara itu.

“Saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan Perdana Menteri.

“Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette