KAJANG – Kerajaan mengesahkan wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali Shah yang didakwa hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu sebenarnya telah dihantar pulang ke negara asalnya pada bulan sama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapat permohonan daripada Kedutaan Pakistan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Permohonan Pakistan itu dibuat ketika kerajaan ketika itu bukan kerajaan sekarang (Kerajaan Perpaduan), ia telah dibuat lebih awal pada Ogos. Maka, kerajaan ketika itu telah mengesan keberadaan Syed Fawad seawal minggu ketiga Ogos dan dihantar pulang ke Islamabad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, media tempatan banyak menyatakan lelaki itu merupakan seorang wartawan namun fakta yang sebenar adalah Syed Fawad adalah seorang bekas anggota polis yang bermasalah.
“Saya baru sahaja diberi maklum kes ini seminggu yang lalu. Media kita kenali dia sebagai wartawan tapi mengikut sumber rasmi dari Kerajaan Pakistan, beliau adalah bekas anggota polis yang mempunyai masalah disiplin.
“Walaupun bekas polis yang ada kes tapi beliau ada keupayaaan menulis yang baik, jadi tulisannya banyak kritik kerajaan Pakistan. Saya belum maklumkan kepada isteri beliau lagi kerana saya baru masuk pejabat hari ini,” ujarnya.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, isteri kepada Syed Fawad yang ingin dikenali sebagai Syeda merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan berhubung kehilangan suaminya.
Dakwa Syeda, suaminya hidup dalam buangan di negara ini lebih 10 tahun untuk melarikan diri daripada dikenakan tindakan di Pakistan selepas dikehendaki atas perbuatan jenayah.
Syed Fawad, 41, merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) meminta perlindungan suaka politik selepas khuatir ditangkap berhubung artikelnya mendedahkan kegiatan rasuah kerajaan Pakistan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Isteri wartawan Pakistan hilang mohon bantuan PM cari suaminya