Tertuduh, Mohd Amal M.Razalan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah bagi pertuduhan kes rasuah berkaitan carigali minyak dan gas Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menerima suapan lebih RM6.1 juta di Mahkamah Sesyen, di sini.

Tertuduh, Mohd Amal M. Razalan membuat pengakuan tersebut di hadapan hakim, Rozina Ayob.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-21 Mohd Amal, 35 didakwa menerima suapan secara berasingan sebanyak RM1.7 juta  daripada Pengarah Majestika Sdn Bhd, Mustaxa Zawawi  bagi membantu Faltech Engineering Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services’ untuk Petronas Carigali Sdn Bhd.

Manakala, selebihnya tertuduh didakwa menerima suapan daripada  Pengurus Projek SAP House Sdn. Bhd yang disalurkan ke dalam akaun Maybank milik perniagaan Mohd Amal iaitu Goldentree Enterprise.

Suapan berkenaan diterimanya sebagai upah menyemak dan mempersetujui dokumen berkaitan pengesahan kerja iaitu Job Completion Ticket (JCT) yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c).

Jika disabit bersalah, Mohd Amal boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana- mana yang lebih tinggi.

Rozina kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM150,000 kepada tertuduh.

Tertuduh turut disenarai hitam daripada ke luar negara, selain perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Dalam masa yang sama, Mohd Amal hari ini dituduh dengan enam lagi pertuduhan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Berdasarkan pertuduhan berkenaan, Mohd Akmalk didakwa menerima wang sebanyak RM798,984.99 melalui akaun milik Muhammad Nazreen Bin Abd Hamid dan beliau daripada hasil aktiviti haram.

Selain itu, beliau turut menggunakan RM140,348.61 daripada akaunnya yang juga merupakan hasil  aktiviti haram.

Keenam-enam kesalahan berkenaan dituduh di bawah subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA 2001(Akta 613).

Kesalahan berkenaan membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram yang telah dilakukannya.

Hakim, Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM30,000 bagi semua tuduhan di bawah AMLATFPUAA.

Sebutan kes bagi kesemua pertuduhan ditetapkan pada 15 Februari.

Sementara itu, tertuduh yang sama juga bakal dituduh di Mahkamah Shah Alam pada Khamis ini. – MalaysiaGazette