intrernet labuan DNB
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta Digital Nasional Berhad (DNB) memperjelaskan tentang dakwaan syarikat itu bahawa liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di negara ini telah mencapai tahap 50 peratus.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih belum mengesahkan maklumat tersebut.

“Lain kali, saya fikir DNB tidak patut menyiarkan maklumat sebelum ia disahkan,” katanya dalam ciapan Twitter, malam tadi.

Fahmi menjawab ciapan Twitter penganalisis politik, Prof. James Chin yang mempersoalkan kesahihan dakwaan DNB itu kerana beliau sendiri berdepan kesukaran mendapatkan liputan 4G di sebuah pekan di Sarawak.

“Beli kad data 4G dan kelajuannya seperti 3G atau kurang. Berapa ramaikah di Sabah dan Sarawak yang mendapat liputan 5G? Atau benar-benar mendapat 4G?” soalnya.

Kelmarin, DNB dalam satu kenyataan memaklumkan, rangkaian 5G Malaysia telah mencapai hampir 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dengan sekitar 3,900 lagi pada akhir tahun lalu, sekaligus melepasi sasarannya sebanyak 40 peratus.

DNB kini memberi tumpuan untuk mencapai sasaran seterusnya sebanyak 80 peratus liputan kawasan berpenduduk selewat-lewatnya akhir tahun depan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya duduk kat PJ. Office kat KL. Pakai device 5G. Tapi line tetap 4G. Kadang-kala tak penuh pun bar tu.

Comments are closed.