Wong Chia Zhen

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta membuktikan kebolehan untuk membuat keputusan terutama dalam isu kemasukan pelancong dari China ke negara ini.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, kebelakangan ini timbul kerisauan dalam kalangan orang awam tentang kemasukan pelancong China di mana negara itu kini didapati sedang dilanda varian baharu Covid-19.

Katanya, kerisauan rakyat terhadap perkara itu sangat berasas kerana kehidupan mereka baru sahaja kembali normal dan ekonomi pula sedang dipulihkan.

“Yang terkesan daripada krisis ekonomi adalah golongan marhaen dan golongan terpinggir. Sekiranya Covid-19 melanda negara kita seperti 2020-2021, berkemungkinan impaknya lebih besar kepada golongan ini berbanding dengan tahun yang lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Chia Zhen, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini meneliti dan mengambil keputusan sekaligus melaksanakan dasar supaya krisis berkenaan dapat diatasi secepat mungkin.

Hakikatnya, kata beliau, negara dapat dipulih sehingga hari ini ekoran hasil daripada pentadbiran yang cekap walaupun dilontarkan pelbagai tohmahan dan persepsi ‘kerajaan gagal’.

Justeru, beliau berkata, dengan keyakinan itu juga ia telah menjadi penyumbang kepada kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Saya ingin menyeru kepada kerajaan supaya mendengar keluhan rakyat. Bukankah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional wakil suara rakyat seperti didakwa?

“Bukankah naratif ‘kerajaan gagal’ selalu dimainkan ketika Perikatan Nasional mentadbir?” soalnya. – MalaysiaGazette