Rafizi ekonomi
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar kesan perencanaan ekonomi oleh Kerajaan Perpaduan akan mengambil masa yang lebih panjang sebelum hasilnya dirasai.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, situasi itu adalah disebabkan oleh suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.

Menurut beliau, ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain.

“Secara umumnya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa,” katanya ketika mengulas mengenai pencapaian sebulan selepas dilantik sebagai Menteri Ekonomi melalui ciapan Twitter malam tadi.

Ahli Parlimen Pandan itu menambah, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

Beliau memberitahu, usaha mengekang inflasi kebanyakannya boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga (membayar subsidi), meningkatkan persaingan pembekal (menangani monopoli) dan menambah bekalan (termasuk mengimport).

“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan adalah lebih anjal,” jelasnya.

Rafizi berkata, pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertikaikan setiap usaha kerajaan dan ada dalam kalangan mereka yang memperli kononnya beliau hanya nampak gah semasa pembangkang tetapi tidak berkesan sebagai kerajaan.

“Insya-Allah itu satu cabaran yang saya akan sahut. Cuma bila komen begitu datang dari mereka yang menjadi kerajaan setelah menebuk atap selama 33 bulan, bunyinya nampak seperti meludah ke langit,” katanya.

Menurut beliau, soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar dan aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan merupakan matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan.

Rafizi berkata, ujian sebenarnya adalah menjayakan anjakan-anjakan tersebut agar kesannya dapat dirasakan oleh rakyat.

“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baharu yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

“Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur.

“Masa sebulan telah memberi saya gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, ada yang kesannya dapat dirasakan segera manakala ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun yang akan datang.

“Insya-Allah, kalau sepuluh kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan seratus peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara,” katanya.

Rafizi juga menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasinya sebagai menteri dan PKR serta Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan selepas tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesan perencanaan ekonomi ambil masa lebih panjang – Rafizi pakar MUNAFIK FORMULA AJAIB

    sebelum jadi MENTERIngok…..semua DASAR ADALAH SALAH dan susahkan RAKYAT
    minyak petrol sepatutya rm1.50…TOLOL HAPUS GST PTPTN HAPUS KERETA MURAH BERHENTI MAKAN AYAM….Blablabla

    sekarang MUNAFIK bagi alasan2 untuk menutup KEMALUANNYA

Comments are closed.