Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao dan Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin bersama pelajar UMP yang menerima hadiah kecemerlangan di UMP Pekan.

PEKAN – Seramai 47 pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China yang bakal menyambung pengajian di BJTU menerima sumbangan hadiah kecemerlangan Duta Besar China.

Pelajar yang dipilih adalah daripada program ijazah dual UMP – BJTU, Pelajar Asasi UMP dengan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang dan mengikuti program mobiliti di China.

Menurut Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao, pihaknya menghargai komitmen UMP  menjayakan program kerjasama itu dan sebagai penghargaan pihaknya memberikan sumbangan buat pelajar terlibat.

“UMP merupakan sebuah universiti teknikal yang terkenal di Malaysia dan ramai jurutera dan bakat teknikal telah dilahirkan di sini.

“UMP juga telah menjalinkan kolaborasi dan kerjasama dengan banyak universiti ternama di China,” katanya.

Ujarnya, program ijazah dual ini akan membuka lembaran sejarah di antara UMP dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dalam meningkatkan kenahiran teknikal serta membuka peluang yang lebih meluas terhadap pembangunan akademik kedua-dua universiti.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“Malah Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP.

Tambah beliau, pihak universiti menghargai sokongan Duta Besar China di Malaysia yang menyumbang sebanyak RMB100,000 atau RM65,000 kepada pelajar UMP hasil kerjasama dengan universiti dari China.

Selain itu, UMP turut terlibat dalam banyak kerjasama lain dengan Universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU) dan Sichuan Aerospace Vocational College (SCAVC).

UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017. – MalaysiaGazette