NEW YORK – Amazon akan mengurangkan lebih 18,000 pekerjaan, pusingan terbesar pemberhentian dalam sejarah syarikat berkenaan.
Ketua Eksekutif Amazon, Andy Jassy berkata, notis pemberhentian pekerja akan disampaikan bermula 18 Januari.
Langkah ini akan memberi kesan kepada organisasi e-dagang dan sumber manusia syarikat.
Pemotongan itu berjumlah 6% daripada tenaga kerja korporat kira-kira 300,000 orang.
Jassy dalam mesej kepada pekerja mengesahkan firma gergasi e-dagang termasuk Amazon Fresh dan Amazon Go turut terjejas akibat pengurangan itu.
Beliau berkata, mereka yang bekerja dalam sumber manusia juga mungkin terkesan apabila tenaga kerja dikurangkan.
Tambah Jassy, perancangan tahunan lebih sukar memandangkan ekonomi yang tidak menentu dan syarikat itu telah mengambil pekerja dengan cepat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Amazon mempunyai lebih daripada 1.5 juta pekerja di seluruh dunia, dengan inflasi yang melambung tinggi mendorong pengguna dan perniagaan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Amazon sudah mula memberhentikan kakitangannya sejak bulan November lalu dari bahagian perantinya, dengan sumber memberitahu ia menyasarkan kira-kira 10,000 pengurangan. – Agensi