Nik Nazmi menyaksikan pertukaran dokumen antara Pemangku Pengarah Urusan Cyeberview Dr. Mohd Hafiz Ibrahim dan Pengarah Urusan REISB Izuan Hafiz.

CYEBERJAYA – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad yakin sasaran pemasangan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025 dapat dicapai.

Menurutnya, sasaran itu perlu dicapai bagi menjayakan hasrat negara sifar bersih Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Apabila teknologi baharu diperkenalkan kita harus ada ekosistem dan saya rasa  majlis seperti hari ini amat penting dan menjadi sebahagian daripada proses untuk ekosistem kenderaan elektrik.

“Saya setuju bahawa kita perlu lakukan lebih banyak untuk mencapai sasaran. Jika kita tidak capai sasaran itu ia juga akan menjejaskan sasaran untuk laluan Malaysia ke sifar bersih Pelepasan GHG pada 2050,” katanya.

Ketika ini Malaysia hanya mempunyai 900 pengecas EV awam di seluruh negara berbanding sasaran 10,000 yang perlu dicapai dalam tempoh tiga tahun sehingga 2025.

Nik Nazmi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) dan Roda Emas Industries Sdn. Bhd. (REISB) di sini hari ini.

MoU tersebut berkaitan kerjasama mengenai pembangunan ekosistem mobiliti pintar di Cyberjaya yang akan memberi tumpuan kepada infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan Hab Gaya Hidup EV GO TO-U.

Turut hadir Pemangku Pengarah Urusan Cyeberview Dr. Mohd Hafiz Ibrahim dan Pengarah Urusan REISB Izuan Hafiz.

Sementara itu Nik Nazmi berkata, lebih banyak insentif berkaitan EV akan diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada Februari depan.

Katanya, insentif yang disediakan oleh Kerajaan untuk EV pada tahun 2022 dilihat telah mengalakkan penggunaan kenderaan yang mesra alam itu dengan lebih 2,000 berdaftar tahun lalu.

Jumlah itu adalah dua kali ganda jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, terdapat 17 stesen pengecasan EV di Cyeberjaya yang mencatatkan 8,000 sesi untuk kenderaan elektrik.

Mobiliti Pintar adalah salah satu bidang tumpuan utama pembangunan ke arah matlamat untuk mengerubah Cyberjaya menjadi hab teknologi global, seperti yang digariskan dalam pelan induk Cyberjaya.

Penggunaan mobiliti berteknologi bijak adalah penting dalam mengurangkan pelepasan karbon sistem pengangkutan dan menyumbang kepada Cyberjaya yang lebih mampan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast