Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Abdul Jalil hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO l di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak berbincang mengenai jemputan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung minggu depan.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini juga tidak membincangkan jemputan kepada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Isham bagaimanapun berkata, parti itu akan menjemput komponen Barisan Nasional iaitu MCA, MIC dan PBRS.

“Setakat tadi tidak ada buat keputusan apa-apa parti. Tak ada dibincangkan. Setakat hari ini tidak ada sebarang keputusan jemput PH.

“Setakat ini kita jemput parti-parti kita macam biasa setiap tahun,” kata Isham.

Sementara itu Isham memaklumkan bahawa mesyuarat yang berlangsung dari pukul 8.30 malam 11.00 malam itu turut tidak membincangkan berkaitan pemilihan UMNO.

Mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin tertinggi lain hanya membincangkan mengenai persediaan perhimpunan agung yang akan bermula pada 11 Januari ini.

“Tidak ada perbincangan mengenai pemilihan parti,” katanya ringkas ketika ditemui sebaik mesyuarat bulanan MKT yang berlangsung di Menara Dato’ Onn tamat.

Katanya, sejumlah 2,838 perwakilan akan hadir pada perhimpunan itu iaitu tambahan 182 orang berbanding tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast