GEORGE TOWN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lou Hoe Chai mengesahkan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dominic berkata, mesyuarat bersama rakan komponen parti iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina.

“Kita telah lakukan persiapan untuk menghadapi PRN termasuk akan mengadakan perbincangan bersama rakan komponen lain bagi pembahagian 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan nanti.

Dominic.

“Faktor keutamaan kami (PN) adalah meletakkan calon yang boleh menang dan berapa jumlah pembahagian kerusi untuk setiap parti bukan menjadi keutamaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir Sama, Setiausaha PN Pulau Pinang, Hng Chee Wey.

Ketika ditanya mengenai sasaran kerusi yang boleh dimenangi, Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, pihaknya meletakkan harapan itu kepada rakyat kerana mereka yang berhak membuat keputusan bagi memilih wakil rakyat mereka.

“Ini semua hak rakyat, jika rakyat nak beri kemenangan kepada kita, kita akan menang semua nanti begitu juga jika sebaliknya.

“Sasaran berapa kerusi boleh menang bukan perkara yang akan dipertimbangkan tetapi kita akan fokus semua 40 kerusi yang akan dipertandingkan nanti.

“Kita juga akan merangka beberapa strategi bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN nanti termasuk menghadapi pertembungan dua penjuru atau lebih berikutan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) menyatakan kemungkinan akan bekerjasama dengan BN,” jelas beliau. – MalaysiaGazette