Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua orang pengarah kanan syarikat bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur.

Kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun ditahan lewat petang tadi di Ibu Pejabat SPRM.

Menurut sumber, salah seorang daripada suspek ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

Manakala seorang lagi merupakan ahli perniagaan berjawatan pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia.

Beberapa saksi termasuk pegawai Kanan Telekom, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat-syarikat terlibat telah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast