Pandak Ahmad

KUALA LUMPUR – UMNO perlu membiarkan ahli yang menentukan mana-mana pemimpin yang akan diangkat pada pemilihan parti akan datang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, kelantangan pihak tertentu agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan seolah-olah isyarat untuk menyekat demokrasi dalam parti.

“Saya lebih suka dipertandingkan agar membenarkan demokrasi dalam parti. Jadi ahli-ahli parti berhak memilih pucuk kepimpinan.

“Kalau kita sekat makna kita seperti tak beri peluang kepada ahli, presiden kalau beliau bertanding dan dia okey, maka kita pilih beliau, maknanya tak boleh ada sekatan dalam parti. Lebih elok dipertandingkan semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Pandak, kesemua ahli berhak memilih pucuk kepimpinan tanpa ada sekatan bagi membuktikan keabsahan setiap pemimpin yang memegang jawatan masing-masing.

Malah, katanya, perpecahan akan tetap berlaku di dalam parti biar pun jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Muar, Datuk Ashari Md Sarip berkata, terdapat kebaikan dan keburukan untuk tidak membenarkan dua jawatan teratas dalam parti dipertandingkan.

Beliau berkata, biar pun langkah itu dilihat sebagai keputusan terbaik untuk mempercepatkan pemulihan parti namun ia tidak akan diterima semua ahli.

“Jika kita mahu memastikan tiada lagi perpecahan dalam parti memandangkan kita masih akan menghadapi lima pilihan raya negeri tidak lama lagi, mungkin lebih baik jawatan itu tidak dipertandingkan.

“Bagaimanapun, ahli biasa parti akan memandang negatif akan langkah ini kerana mereka lebih suka semua jawatan parti terbuka untuk pertandingan bagi pembentukan barisan kepimpinan baharu dengan mandat baharu daripada ahli akar umbi,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat dirinya bersedia untuk dicabar oleh mana-mana calon bagi kerusi panas itu.

Malah Ahmad Zahid menegaskan, beliau pernah dicabar sebelum pada tahun 2018 dan ketika itu perwakilan memilihnya untuk mengepalai UMNO. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.