Selangor Kit Siang Anwar gelombang hijau
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Gelombang hijau yang didakwa boleh mengubah Malaysia menjadi sebuah teokrasi dapat dihalang sekiranya tiga perkara berlaku dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara pertama dan kedua adalah kegagalan Perikatan Nasional (PN) merampas Selangor dan Negeri Sembilan.

Perkara ketiga pula, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang lebih daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

“Tetapi, tiga perkara ini adalah matlamat yang terlalu rendah, sebaliknya, kita perlu menetapkan sasaran yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini mengenai peluang PN untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan serta mempertahankan Kedah pada PRN yang dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

Gelombang hijau dipercayai merujuk kepada fenomena yang berlaku pada PRU-15 di mana sebahagian besar pengundi Melayu dan Islam khususnya golongan muda memberi sokongan terhadap PN khususnya Pas.

Kit Siang percaya enam PRN tersebut mempunyai kepentingan khas kerana ia akan dilihat sebagai pilihan raya umum (PRU) mini.

Beliau menambah, enam PRN itu akan menjadi pembuka kepada PRU-16 dan menguji sama ada Kerajaan Perpaduan mempunyai kestabilan politik untuk bertahan selama lima tahun. – MalaysiaGazette