Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersetuju untuk membatalkan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan dua fakulti lain.

Dengan persetujuan itu, FKPM akan kekal sebagai fakulti tunggal.

Presiden Alumni FKPM (Alumi Masscomm UiTM) Basree Rakijan berkata, pengurusan FKPM telah menerima pandangan alumni dan perkara itu dimaklumkan Naib Canselor UiTM Prof Dr Datuk Roziah Mohd Janor dalam pertemuan bersama wakil persatuan berkenaan dengan pihak UiTM, semalam.

Bagaimanapun institusi itu memaklumkan proses pembatalan itu memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan.

“Dalam pertemuan itu, Alumni Masscomm meminta UiTM membatalkan serta-merta penggabungan itu berdasarkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 1 Nov 2022 kepada universiti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPT telah memutuskan sama ada UiTM menukar nama gabungan ketiga-tiga fakulti itu kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik atau melakukan penstrukturan semula dengan mengekalkan FKPM seperti sebelum ini

Basree berkata, Alumi Masscomm UiTM mahu pembatalan gabungan itu perlu disegerakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di fakulti tersebut.

Ia juga bagi mengelakkan timbul pelbagai masalah serta kekeliruan berikutan penggabungan itu.

Basree berkata, Alumni Masscomm turut menghargai pendirian terbaharu pengurusan UiTM yang menerima pandangan Alumni Masscomm dan bersetuju mengekalkan FKPM.

“Saya percaya pengurusan UiTM amat serius dalam menyelesaikan kemelut ini dan jika kita perlu menunggu tiga hingga enam bulan demi kebaikan dan masa depan fakulti, kami memahami,” tambahnya.

Bantahan ini dicetuskan oleh Alumni Masscomm Oktober tahun lalu selepas penggabungan fakulti ini diumumkan pada sambutan ulang tahun ke-50. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast