Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi bercakap pada sidang media mengenai kes letupan menyebabkan kematian tukang masak di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang daripada suspek dalam kes pelayan restoran maut akibat sebuah bungkusan meletup dipercayai mempunyai pengetahuan menghasilkan bahan letupan.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu dipercayai mempunyai minat serta pengetahuan dalam bidang elektrik dan pendawaian.

“Walaupun dia merupakan kontraktor binaan dan jubin, mozek tetapi dia mempunyai kecenderungan dan pengetahuan dalam bidang elektrik dan pendawaian yang membantu menghasilkan bahan letupan bersama input yang diperolehi dalam online.

“Hasil siasatan juga mendapati bahan letupan tersebut dihasilkan daripada bilah pisau pemotong kertas dan serbuk mozek sehingga menyebabkan mangsa berusia 28 tahun itu cedera parah di bahagian badan dan tangan.

“Suspek juga telah berada di lokasi semasa kejadian berdiri pada jarak jauh dan menggunakan alat kawalan jauh meletupkan bom buatan itu apabila mangsa cuba mengambil bungkusan itu yang diletakkan di atas bonet keretanya di lokasi,” katanya pada sidang di Ibu Pajabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.55 malam 29 Disember lalu, mangsa yang merupakan pelayan restoran maut akibat cedera parah di tangan dan badan setelah menyentuh bungkusan yang ditemui atas bonet keretanya yang diletakkan do hadapan tempat kerja mangsa.

Pada 3 Januari lalu, polis menahan pasangan suami isteri di Serdang, Kedah dan dalam dalam serbuan di rumah suspek pada 5 Januari pasukan forensik merampas barang-barang memproses bahan letupan.

Sasikala Devi yang mengesahkan kes tersebut selesai dengan penahanan pasangan suami isteri itu berkata, kedua-dua suspek mengenali mangsa yang mana mereka berasal dari kampung yang sama di Serdang, Kedah.

Menurutnya, polis telah selesai merakam keterangan daripada 36 saksi bagi membantu siasatan dan beliau tidak menjangka terdapat tangkapan lain.

“Motif kejadian disyaki berunsur peribadi dan kita berjaya merampas segala barang kes termasuk bahan-bahan yang dipercayai digunakan suspek untuk menghasilkan bahan letupan itu,” ujarnya.

Tambah beliau, barang yang dirampas itu telah dihantar ke makmal kimia dan forensik dan pihaknya masih menyoal siasat suspek yang kini ditahan direman sehingga 10 Januari ini untuk membantu siasatan.

Sasikala Devi berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan, kata beliau. – MalaysiaGazette