Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bercakap pada sidang media selepas selesai hadir pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 07 JANUARI 2023.

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju untuk meneruskan dasar bahawa pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah daripada pihak pembangkang.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata, kaedah itu membawa hasil yang positif dari segi semak dan imbang pentadbiran kerajaan.

“Waima sewaktu PH mentadbir (sebelum ini), kita lihat bila pengerusi PAC daripada pihak pembangkang, ia memberi fokus kepada proses semak imbang, urus tadbir dan tata kelola,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, belum ada perbincangan dengan pihak pembangkang berhubung perkara itu.

Menteri Komunikasi dan Digital itu juga berkata, terpulang kepada jawatankuasa berkenaan untuk melakukan siasatan berhubung isu-isu berbangkit sebelum ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut membincangkan mengenai cadangan sesi jawab lisan perdana menteri di sidang Parlimen.

Sementara itu, Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan mesyuarat hari ini tidak membincangkan secara spesifik kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya, beliau berkata mesyuarat pada umumnya membincangkan persiapan PRN dari sudut gabungan itu sahaja termasuk usaha membentuk segera atau mengaktifkan semula jawatankuasa pilihan raya PH.

“Belum sampai ke situ (keputusan kerjasama) sebab jawatankuasa pilihan raya akan buat beberapa persiapan dahulu barulah diukur langkah yang munasabah.

“Paling penting adalah fokus mempertahankan tiga negeri milik PH sekarang iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang umumnya pimpinan utama PH meletakkan keyakinan tinggi berdasarkan laporan semasa,” katanya.

Menurutnya PH juga berpeluang menang di Kedah selain bertekad untuk menghantar suara pembangkang yang kuat di Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA