KUANTAN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun dipercayai lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating kira-kira jam 1.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa bersama rakannya dikatakan bermain bulatan dalam air sebelum dipukul ombak besar.
Mangsa dikenali sebagai Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, dari Seri Kembangan, Selangor dikatakan hanyut dibawa arus deras dan hilang namun rakan-rakannya dilaporkan selamat.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 rakan datang ke pantai Cherating untuk berehat serta berkelah.
“Menurut rakan mangsa, ketika mereka membuat permainan bulatan di dalam air, tiba – tiba ombak tinggi datang menyebabkan kumpulan mereka berpecah dan mangsa ditarik arus deras ke tengah tempat lebih dalam.
“Mereka masing-masing menyelamatkan diri namun sempat melihat mangsa dalam keadaan panik sebelum hilang dari pandangan dan meminta bantuan orang ramai dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu, Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan. – MalaysiaGazette