Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam dicekup polis semalam kerana disyaki memiliki barang peribadi milik mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, suspek yang berusia 30-an ditangkap di Lembah Klang.

“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah reman untuk meneruskan siasatan ke atas suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan polis memulakan siasatan terhadap barang peribadi mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh itu yang diambil dan digunakan oleh individu lain.

Menurut Sasikala, tangkapan tersebut membawa kepada rampasan barang-barang milik mangsa.

Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette