Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kepimpinan UMNO yang lain hadir pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) dan pemilihan parti merupakan pentas bagi menentukan “keabsahan’ presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam mengemudi parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam , Mohd Faizal Mohd Said berkata, keabsahan itu penting buat Ahmad Zahid seiring dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu.

Mohd Faizal menegaskan, tanda tanya sama ada keputusan Ahmad Zahid membawa UMNO-Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan benar-benar mencerminkan suara sebenar akar umbi UMNO atau sebaliknya, juga hanya akan terjawab melalui pemilihan UMNO.

“Saya rasa Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan segala tindak-tanduk dan keputusan parti yang dikemukakannya, sama ada benar-benar mencerminkan hasrat akar umbi parti atau sebaliknya.

“Saya percaya masih ada ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk mencabar kedudukan Ahmad Zahid seperti Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri,” ,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat Mohd Faizal selepas Ahmad Zahid secara terbuka bersedia untuk dicabar.

Pada Pemilihan UMNO 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang  memperoleh 23 undi.

Dua lagi pencabarnya, iaitu Ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan Ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa gagal memperoleh sebarang undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast