Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas selesai hadir pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 07 JANUARI 2023.

PETALING JAYA – Masih terlalu awal untuk Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membincangkan soal kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebaliknya Jawatankuasa Pilihan Raya PH perlu membuat persiapan terdahulu sebelum membincangkan soal kerjasama itu.

“Tadi disebut secara umum persiapan PRN, tidak secara spesifik (kerjasama BN-PH), belum sampai ke situ.

“Ini kerana Jawatankuasa Pilihan Raya PH akan buat beberapa persiapan dahulu, barulah diukur langkah yang munasabah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, PH dan BN berkemungkinan akan bekerjasama sebagai sebuah pasukan pada PRN yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut Guan Eng, dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, ia dengan sendirinya akan membawa kepada kerjasama peringkat negeri sama seperti di Perak dan Pahang.

Tahun ini, PRN bakal diadakan di enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Majlis Presiden PH juga lebih memberi fokus untuk mempertahankan tiga negeri milik PH ketika ini termasuk Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

“Yang umumnya pimpinan utama PH meletakkan keyakinan yang tinggi (pertahan tiga negeri) berasaskan kepada laporan semasa.

“Kemudian tekad untuk menghantar suara pembangkang yang kuat, kalau pun tidak sampai menawan atau mengambil alih Kelantan dan Terengganu.

“Kemudian kami berpendapat bahawa peluang PH tetap seimbang di Kedah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette