Mayat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang dipercayai lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating hari ini.

KUANTAN – Mayat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang dipercayai lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating kira-kira pukul  1.45 petang semalam ditemui kira-kira 7.30 pagi tadi.

Mayat mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemui di kawasan Pantai Baging kira-kira sembilan kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketika tinjauan MalaysiaGazette, ibu bapa serta sebahagian ahli keluarga penuntut itu memaklumkan jenazah telah dibawa ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk proses bedah siasat.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Cherating.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mangsa sebelum itu tiba di pantai terbabit kira-kira pukul 1.30 petang bersama 19 rakannya untuk berehat dan berkelah.

Tambahnya, ketika mereka mandi sambil bermain di dalam air, ombak tinggi tiba-tiba datang merempuh kumpulan pelajar itu.

Mangsa yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dikatakan hanyut dibawa arus deras dan hilang namun rakan-rakannya dilaporkan selamat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.