Kamarul Zaman menunjukkan barang rampasan hasil kejayaan kontinjen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Ahli sindiket ah long sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat di Johor untuk melakukan perbuatan khianat terhadap peminjam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ahli sindiket turut menerima habuan sebanyak RM800 bagi setiap perbuatan khianat menggunakan api dan RM500 sebagai upah simbah cat.

Menurutnya, sindiket itu dikenalpasti beroperasi sejak Oktober tahun lalu.

Namun aktiviti itu terbongkar selepas lapan ahlinya berusia 27 hingga 67 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Lumpur.

Dengan penahanan lapan individu termasuk dua orang wanita warganegara Vietnam itu telah berjaya menyelesaikan 21 kes sekitar negeri ini termasuk di Brickfields dan Tanjung Minyak, Melaka.

“Pada 4 Januari lalu, sepasukan polis bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah membuat serbuan dan menahan tiga ahli sindiket itu pada pukul 1.40 petang.

“Maklumat itu adalah hasil kolaborasi dengan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfield yang sebelum ini telah menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita warganegara Vietnam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, kata Kamarul Zaman, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, wang tunai RM4,649, sepasang sarung tangan, dua buah kereta, 12 keping kad ATM, dua keping kad akses rumah dan dua keping kertas tercatit alamat peminjam.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki sindiket yang masih bebas.

Katanya, ahli sindiket ini yang berpangkalan di ibu kota sanggup meredah lebih 300 kilometer dengan membuat perjalanan antara 12 tengah malam hingga 4 pagi bagi mengelak pergerakan mereka dikesan.

Hasil siasatan mendapati sindiket itu juga dikatakan menerima wang upahan sebanyak 10 peratus daripada nilai transaksi.

Modus operandi sindiket  juga adalah dengan mengiklankan ke media sosial dan mengenakan kadar pinjaman dari RM1,000 sehingga RM50,000 manakala faedah pinjaman yang dikenakan sebanyak 20 sehingga 50 peratus.

Semua yang ditangkap direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette