Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat dari Barisan Nasional Datuk Ir. Shahelmey Yahya (kiri) mengisi borang kehadiran menghadiri mesyuarat parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau bersama empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri akan menubuhkan parti baharu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berkata beliau dan empat ADUN berkenaan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang merujuk kepada penubuhan parti baharu atau apa-apa yang berkaitan dengannya.

Sehubungan itu, Shahelmey berkata laporan berita mengenai dakwaan yang telah disiarkan oleh sebuah portal berita hari ini itu sengaja ditokok tambah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan ini. Kenyataan ini disiarkan tanpa pengetahuan kami dan ia juga dilihat berniat jahat juga sengaja ditokok tambah,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Selain Shahelmy, ADUN BN yang menyokong kerajaan negeri ialah Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Pada Jumaat, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat itu menyatakan pendirian masih menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa Hajiji masih memberikan sokongan kepada beliau untuk kekal sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.