harga siling telur
Notis kepada pelanggan mengenai kekurangan stok telur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kedai pemborong di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menaikkan harga siling telur ayam lebih tinggi daripada kadar sedia ada 41 sen sebiji bagi menangani isu kekurangan bekalan bahan makanan tersebut ketika ini.

Pengerusi Biro Pertanian MCA, Ngwe Hee Sem berkata, tindakan itu akan menggalakkan para penternak ayam tempatan meningkatkan pengeluaran telur ayam.

Beliau juga berpandangan, langkah kerajaan mengimport telur ayam dari luar negara termasuk dari India bagi memenuhi permintaan domestik adalah tidak praktikal.

“Pada harga tetap 41 sen sebiji telur, situasi ini mengakibatkan penternak ayam telur tempatan beroleh keuntungan yang kecil bagi menampung kos pengeluaran, menyebabkan berlaku pengurangan dalam bekalan telur.

“Namun, jika kita bergantung sepenuhnya kepada telur import dari India, ia hanyalah penyelesaian sementara, sedangkan penternak tempatan terus menderita.

“Tambahan pula, isu kesegaran dan logistik telur import akan menjadi cabaran yang besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

harga siling telur
Ngwe Hee Sem

Baru-baru ini, media melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu meninjau sendiri ladang ayam telur di Tamil Nadu, India pada hujung minggu lalu.

Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.

Hee Sem berkata, Malaysia pernah menjadi salah satu daripada lima negara pengeksport telur ayam yang terbesar dunia satu ketika dahulu.

“Justeru, adalah pelik apabila kita terpaksa mengimport telur sekarang bagi memenuhi permintaan domestik,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan subsidi telur RM200 setahun kepada keluarga B40 bagi membantu mereka menangani kesan akibat kenaikan harga siling telur. – MalaysiaGazette