Muhyiddin Anwar
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan palsu apabila menuduh Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 bilion telah diselewengkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuainya dahulu.

Pengerusi PN itu berkata, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengesahkan bahawa segala perbelanjaan yang melibatkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus.

Menurut beliau, isu dana RM600 bilion kemudian tidak disebut lagi kerana sebahagian besar daripada jumlah itu adalah berbentuk bukan fiskal, iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan, termasuk moratorium bank dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak melibatkan wang kerajaan.

“Dana yang berbentuk fiskal, iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar sebelum ini pernah berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin dan sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, atas sebab itu, tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan partinya kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion.

“Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk mengutip 3 hingga 5 peratus komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun Bersatu,” jelasnya.

Beliau menambah, atas andaian itu, mereka memfitnah kononnya Bersatu mempunyai dana pilihan raya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Muhyiddin berkata, PN dikatakan berbelanja besar dan mewah semasa PRU-15 sehingga ada pemimpin Barisan Nasional (BN) menuduh PN membeli undi untuk menang.

“Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan.

“Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.

“Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?” soalnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menyifatkan tuduhan beliau mengutip komisen daripada perbelanjaan fiskal juga adalah rekaan dan hakikatnya, tiada dana RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun peribadinya.

Beliau menjelaskan, Bersatu mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangannya manakala akaun parti diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, sebagai langkah penjimatan, Bersatu telah mencetak bendera dan barangan PN secara pesanan pukal dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya.

“Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya Bersatu mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej Bersatu dan PN,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa, tuduhan bahawa penahanan reman Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut mempunyai kaitan dengan beliau membuktikan Pakatan Harapan (PH) dan BN takut dengan bayang-bayang sendiri dan gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62 peratus orang Melayu dan bumiputera dalam PRU-15.

“Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap Bersatu dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran parti itu sehingga sukar menghadapi PRN akan datang.

Muhyiddin berharap perkara itu tidak benar dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya adalah palsu.

“Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya,” tegasnya sambil menambah Bersatu akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dijalankan oleh SPRM. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.