Foto Ismail Sabri melawat anak saudara di hospital.-FB Azmi Tarmizi

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat anak saudaranya yang kritikal di Hospital Kuala Lumpur petang tadi.

Bekas setiausaha akhbar Ismail Sabri, Azmi Tarmizi berkata, anak saudara Naib Presiden UMNO itu cedera parah akibat kemalangan jalan raya.

“Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat anak saudaranya yang kritikal di Hospital Kuala Lumpur petang tadi.

“Anak saudaranya yang masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa cedera parah akibat kemalangan jalan raya di Gombak. Semoga diberikan kesembuhan. Amin,” tulis beliau dalam satu hantaran di media sosial.

Azmi turut berkongsi gambar Ismail Sabri yang berbaju batik melawat anak saudaranya di hospital.

Malaysia Gazette hari ini melaporkan, Ismail Sabri antara pimpinan tertinggi UMNO yang tidak kelihatan dalam Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang bermula, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di pentas utama Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapati, hanya dua naib presiden sahaja kelihatan hadir ke dalam majlis pembukaan PAU2022 itu

Antara Naib Presiden UMNO yang hadir itu ialah Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Beberapa pimpinan yang pernah menganggotai Kabinet Ismail Sabri sebelum ini turut tidak hadir dalam Majlis Taklimat Presiden itu.

Antaranya bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bagaimanapun Tan Sri Noh Omar yang sebelum ini tidak dicalonkan semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelihatan muncul dalam majlis itu.-MalaysiaGazette

Ismail Sabri tak muncul dalam taklimat Presiden UMNO?