KUALA LUMPUR – UMNO secara tradisi sebuah parti yang berhierarki, jadi agak sukar untuk perwakilan menerima orang lain selain presiden sekarang, demikian menurut penganalisis politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gerakan #RESETUMNO yang menamakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Presiden UMNO yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Beliau (Johari) tidak pernah pegang jawatan penting dalam parti kecuali Majlis Kerja Tertinggi.
“Dalam pemilihan, biasalah tu ada gerakan-gerakan sebegini,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Namun, perkara itu tidak dapat dipastikan mengenai gerakan itu sah atau sebaliknya.
“Mungkin ia hanya psywar (perang saraf) dalam parti.
“Perbalahan sebegini sering berlaku dalam sejarah UMNO, apa yang penting dapat memperkukuhkan kekuatan mereka sebagai tunjang orang Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Azizuddin berkata, Ahmad Zahid harus ada alasan yang tidak boleh dielakkan untuk mempertahankan jawatan presiden.
“Kalau kes mahkamah beliau sekarang, masih belum didapati bersalah dan ia bukan alasan kuat untuk melepaskan jawatan tersebut.
“Kalau nak diikutkan, saya rasa Pas lagi harus memberi peluang kepada kepimpinan lain,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Mujibu Abd Muis turut bersetuju agar Ahmad Zahid tidak perlu melepaskan jawatan presiden.
“Tetapi, jika ada desakan daripada akar umbi yang menuntut beliau letak jawatan dan ambil tanggungjawab selepas UMNO kalah Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU15) lalu seperti mana yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak dulu, maka (Ahmad Zahid) bersedialah.
“Ini kerana pada PRU15, UMNO dilihat sangat bersedia dan mempunyai kelebihan untuk menang malangnya kalah,” tambahnya.
Jelasnya lagi, jika ada mana-mana pemimpin dalam UMNO yang mahu menandingi Ahmad Zahid, individu itu mestilah memikirkan banyak faktor.
“Ahmad Zahid ada kelebihan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pasukannya menguasai Kabinet.
“Walaupun sudah menjadi tradisi UMNO untuk menentang presiden ketika parti itu kalah, tetapi buat masa ini Ahmad Zahid ada jawatan dalam Kabinet dan UMNO sebahagian kerajaan hari ini.
“Pencabar sukar untuk mengalahkan Ahmad Zahid jika tidak bersatu,” tambahnya.
Biarpun begitu, Mujibu berkata, pertandingan dalam parti akan memberi persepsi bahawa UMNO sebuah parti yang terbuka dan kepimpinannya telus serta demoktratik dalam pemilihannya.
“Ia akan memberi ruang kepada semua untuk menentukan siapa yang layak menjadi presiden dan keputusannya kelak akan diabsahkan secara berperlembagaan.
“Ini secara tidak langsung ia akan melenyapkan semua dakwaan negatif tentang UMNO,” katanya.
Terdahulu, satu poster tular mengenai #RESETUMNO yang menamakan Johari sebagai presiden baharu menggantikan Ahmad Zahid.
‘Pasukan’ Johari itu turut disertai Khairy Jamaludin sebagai timbalan presiden dan Shahril Hamdan sebagai Ketua Pemuda. -MalaysiaGazette