Dr. Sukumaran Nair

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyifatkan kerajaan melakukan langkah bijak apabila membenarkan kemasukan pekerja asing dari 15 buah negara sumber.

Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran, langkah itu akan mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia khususnya untuk kuota yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

“Langkah ini akan mengurangkan masa menunggu oleh majikan majikan yang kian tidak sabar dengan masa yang diambil oleh negara-negara sumber untuk membawa masuk pekerja migran dari negara mereka.

“Kelulusan dari kementerian Sumber Manusia dipercayai melebihi 400,000 kuota tetapi yang tiba ke negara ini dianggarkan hanya 40% daripada jumlah tersebut sejak mula kelulusan kuota diberikan pada bulan Jun 2022 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sukumaran berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Saifuddin yang berkata majikan akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber.

Kebenaran itu jelas Saifuddin, tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota yang antara lain permohonan majikan terbabit boleh diluluskan dalam tempoh tiga hari.

Selain itu Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat 31 Disember lalu akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta.

PAPSMA turut menerima konsep peralihan proses kelulusan dari Kementerian Sumber Manusia (KSM) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Agensi kawal selia bagi kelulusan permohonan pekerja asing dari pelbagai sektor yang dibenarkan oleh kerajaan.

“Kami mengharapkan kedua-dua kementerian ini sanggup bekerjasama bagi memastikan kelicinan kemasukan pekerja asing dalam masa singkat tanpa kerumitan dalam proses dan protokol.

“PAPSMA juga menyeru agar proses baru dan protokol aliran kerja bersama-sama dengan dokumentasi digital harus diberi keutamaan dengan segera agar permohonan baharu dari majikan-majikan tidak terbantut dan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana dapat dipertingkatkan dalam kadar segera,” kata Sukumaran lagi.

Jelas beliau, agensi tersebut harus diberi peluang dan mandat untuk memainkan peranan agar segala kesulitan dalam proses permohonan hinggalah kemasukan pekerja asing ke Malaysia dapat diselenggarakan, skali gus mengurangkan kos pengrekrutan pekerja asing ke Malaysia dengan drastik mengikut kehendak Perlembagaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast