Antara para perwakilan yang hadir pada Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 i Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KALAH tapi masih meriah nampaknya Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) kali ini.

Malah ia masih menjadi tumpuan sedangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16.

Suasana WTC masih dilimpahi lautan merah sejak hari pertama seolah-olah UMNO dan BN masih mendominasi kerajaan.

Ternyata BN dan UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan menjadi punca suasana itu masih kekal.

Bagaimanapun, PAU kali ini ada penting kerana ia penentu wadah yang perlu dibawa bagi meneruskan hayat parti itu.

Kali ini rata-rata ahli mahu penjelasan lebih mendalam mengenai kerjasama UMNO/BN dengan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bukan mereka tidak mengetahui melalui kenyataan pimpinan sebelum ini tetapi penjelasan melalui platform parti lebih bermakna.

Mereka mahu azimat untuk dibawa menemui ahli peringkat bawah di kawasan masing-masing.

Satu lagi yang menjadi perhatian sama ada jawatan dua tertinggi parti itu akan dipertandingkan atau tidak.

Dalam parti, ada pihak yang merasakan ia tidak perlu dipertandingkan dalam keadaan negara akan diadakan beberapa pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Mereka kata, pimpinan kena kekal dan parti tidak mampu berpecah.

Satu pihak lagi mahu ia dipertandingkan demi keabsahan mandat dan menyuburkan demokrasi dalam parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkannya kepada ahli-ahli parti dan bersedia bertanding seperti masa beliau mula-mula memenangi jawatan tertinggi parti itu.

Ada juga cubaan menganggu PAU 2022 dengan penyebaran poster dikenali #RESETUMNO.

Dalam sebaran itu kononnya Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai pihak yang mahu melawan Ahmad Zahid dalam pemilihan parti.

Namun Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa enggan mengulas mengenainya.

Bagaimanapun nama-nama yang dipetik menafikannya sama sekali.

Penafian juga dibuat oleh Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun.

Satu lagi mengenai Langkah London. Kononnya ada orang parti berpakat dengan pimpinan Perikatan Nasional untuk ‘memancung’ kerajaan sekarang juga menjadi isu.

Namun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikannya terlibat dan ada gerakan sedemikian walaupun mengakui ketika itu dia berada di United Kingdom.

Salah seorang Naib Presiden UMNO yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tidak hadir dalam sesi Taklimat Presiden UMNO juga mendapat perhatian.

Bagaimanapun Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar dilihat hadir.

Dalam Taklimat Presiden tertutup, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum itu memberitahu, antara intinya, Ahmad Zahid akan memperincikan kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid dalam hantaran di media sosialnya pula memberitahu, beliau akan menggunakan PAU kali ini melahirkan rasa dan menceritakan cabarannya menakhodai parti.

Nampaknya walaupun bukan pilihan semasa PRU namun setiap perkara dalam UMNO masih menarik perhatian ramai.

Kita tunggu hari kedua PAU2022 esok.- MalaysiaGazette