Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah bercakap pada sidang media mengenai memberi sokongan penuh kepada Presiden dan Timbalan Presiden untuk tidak dipertandingkan pada pemilihan parti ketika Majlis Perjumpaan bersama dengan 140 Ketua Bahagian di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kesemua ketua bahagian UMNO sebulat suara tidak mahu ada pertandingan peringkat presiden dan timbalan dalam pemilihan parti akan datang.

Wakil mereka yang juga Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohd Shafie Abdullah berkata, ia perlu kerana parti bakal berhadapan dengan enam lagi pilihan raya negeri.

“Untuk berjuang PRN tentu kita perlu solidariti dan keyakinan semua orang ahli dan semua 126 ketua bahagian termasuk pengerusi perhubungan negeri juga bersetuju,” katanya dalam sidang media selepas Malam Solidariti Ketua Bahagian UMNO di sini malam ini.

Menurut Mohd Shafie, seramai 14 ketua bahagian tidak hadir kerana terpaksa menghadiri majlis sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) namun tetap menyatakan persetujuan dengan apa yang mereka putuskan.

“Saya bertanya kepada semua ketua bahagian dan mereka berpandangan kita tak perlu ada pertandingan presiden dan timbalan,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak membenarkan ketetapan itu dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO namun pihaknya berasa ia wajar diberi perhatian.

Menurut beliau, Ahmad Zahid mahu mendengar pandangan ahli akar umbi dan ketua bahagian merupakan wakil akar umbi dan parti wajar menerima ketetapan mereka.

Selain itu, Mohd Shafie juga menegaskan, ketua-ketua bahagian UMNO mahu kerajaan sekarang membantu proses penghakiman yang adil kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita bukan suruh lepaskan dia tapi bantu Najib dapatkan perbicaraan yang adil,” katanya.- MalaysiaGazette