MELAKA – Sebanyak 28 daripada 55 buah masjid warisan berusia lebih 100 tahun di negeri ini dikesan tidak menepati arah kiblat sebenar.
Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ia adalah hasil pemeriksaan kerjasama antara Jabatan Mufti Melaka serta Jabatan Ukur dan Pemetaan yang dilakukan secara berperingkat sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, arah kiblat semua masjid itu bagaimanapun sudah diperbetulkan seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta merta ketika pemeriksaan sebelum ini.
“Hampir 50 peratus atau 28 daripada 55 buah masjid warisan berusia lebih 100 tahun di Melaka ini apabila kita semak arah kiblatnya tersasar antara tiga hingga 18 darjah dari arah sebenar.
“Kita telah berikan penjelasan kepada masyarakat kemudian betulkan arah kiblat pada waktu itu kerana nampak ia memang dah tersasar.
“Bukan bererti orang dahulu salah, tapi kada ketika itu mungkin tiada badan yang mengawal, tiada teknologi canggih seperti kompas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat dan penarafan bintang di Semabok, Melaka hari ini yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md. Rawi Mahmud.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, antara 28 masjid warisan terbabit yang sudah diperbetulkan arah kiblatnya adalah Masjid Al Abrar, Semabok, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong dan Masjid Serkam.
“Kemungkinan arah kiblat yang tersasar sebelum ini dahulu penentuan kiblat itu dibuat secara tradisional berdasarkan cerapan matahari atau penentuan bayang sebab itulah kita kena betulkan situasi itu.
“Kadar arah terpesong yang dimaafkan Jawatankuasa Fatwa adalah jika ia bawah tiga darjah dengan alasan ia masih menghala ke Baitullah, tapi kalau ia tersasar lebih daripada tiga darjah itu perlu dibetulkan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima permohonan daripada lebih 150 premis dan 80 buah rumah untuk melakukan pemeriksaan semula arah kiblat.
Umat Islam yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu dikenakan caj RM100 manakala premis perniagaan, surau dan masjid pada kadar RM200. – MalaysiaGazette