Gambar hiasan

BANGKOK – Jumlah perdagangan Malaysia dengan Thailand terus mencatatkan prestasi cemerlang dan mencecah RM112.42 bilion dari Januari hingga November tahun lepas, meningkat sebanyak 27.4 peratus dalam tempoh sama pada 2021.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Bangkok, Mohamed Hafiz Md Shariff berkata, dalam tempoh 11 bulan pertama 2022, lebihan dagangan antara Malaysia dan Thailand mengekalkan trajektori meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Eksport ke Thailand naik 28.4 peratus kepada RM60.77 bilion. Import dari Thailand turut meningkat sebanyak 26.2 peratus kepada RM51.64 bilion daripada RM40.92 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas,” katanya pada pelancaran Pavilion Halal Malaysia di Shopee Thailand melalui kerjasama dengan HYT Cross Border di Bangkok pada Rabu.

Dari Januari hingga November tahun lepas, Thailand disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga utama Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import kelapan terbesar.

Sementara itu, Mohamed Hafiz mempelawa pengimport dan pengedar dari Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-19 yang akan diadakan dari 12-15 Sept ini.

Beliau berkata, industri halal dilihat sebagai sektor pertumbuhan baharu berdasarkan potensi besar dalam pasaran ini berikutan peningkatan kemajuan umat Islam di seluruh dunia dan kesedaran yang meningkat telah mewujudkan permintaan yang tinggi untuk produk dan perkhidmatan halal.

Katanya, peluang perniagaan bukan sahaja terhad kepada sektor makanan dan bukan makanan tetapi juga meliputi sektor perkhidmatan seperti kewangan dan perbankan, insurans, pendidikan dan latihan, penyelidikan, pensijilan, perundingan, logistik, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

“Melihat kepada peluang yang luas dalam produk dan perkhidmatan halal, MATRADE berbesar hati untuk menjemput pengimport dan pengedar dari Thailand untuk menjadi sebahagian daripada MIHAS ke-19.

“MIHAS ke-19 akan memberi penekanan yang khusus kepada agenda membantu pemain tempatan dan antarabangsa melihat kepada inovasi dan inisiatif mampan untuk menerajui pertumbuhan kukuh bagi ekonomi halal.

“MIHAS tidak terhad kepada rantau ASEAN sahaja tetapi turut disokong di peringkat antarabangsa dengan penyertaan pavilion antarabangsa dari negara-negara di seluruh dunia, daripada suruhanjaya perdagangan hingga pelbagai agensi kerajaan serta daripada pemain industri hingga peneraju pasaran,” katanya.

Beliau berkata, pengedar dan pengimport juga boleh mengambil bahagian dalam Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), sesi padanan perniagaan dan MIHAS connect, suite padanan perniagaan dibantu AI untuk pengunjung maya, memadankan peserta pameran yang berkaitan dengan pengunjung perdagangan.

“INSP akan menjadi saluran yang ideal untuk anda bertemu dengan pemain industri halal Malaysia selain mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini dalam produk dan perkhidmatan halal,” katanya. – BERNAMA