Ketua Wanita UMNO Bahagian Lumut, Sabariah Zakaria ketika membahas usul pendidikan dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

KUALA LUMPUR – Janji tinggal janji, kuota 30 peratus Wanita UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bukan sahaja tidak tertunai bahkan Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menang bergaya juga tidak diangkat sebagai menteri.

Pembahas Wanita UMNO Lumut, Sabariah Zakaria berkata, tindakan itu sangat mengecewakan sayap parti itu, apatah lagi dalam mendepani pemilihan UMNO pada tahun ini.

“Kita kira, kita masih ingat janji presiden secara terbuka untuk memberi 30 peratus kuota calon kepada Wanita bagi PRU15. Hingga ke saat akhir, janji tidak tertunai.

“Wanita bukan saja tak dapat kuota 30 peratus, malah Ketua Wanita UMNO Malaysia yang menang bergaya pun tak dapat menjadi menteri!

“Ini satu tindakan yang sangat mengecewakan dan bahaya terutama bagi tahun pemilihan. Wanita dengan ini mendesak presiden untuk memperhalusi hal ini,” katanya ketika membahas usul pendidikan, ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini, hari ini.

Tambahnya, kegagalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunaikan janjinya itu boleh menyebabkan UMNO dipandang sebagai parti yang mengamalkan diskriminasi gender.

“Jangan Wanita hanya dilihat sebagai jentera untuk bekerja saja…jangan buat Wanita seperti habis manis sepah dibuang…jangan pandang rendah pada Wanita.

“Wanita sentiasa ingat janji-janji manis, lagi-lagi yang tidak ditunaikan. Masa depan UMNO amat getir,” katanya.

Katanya lagi, tindakan meminggir Wanita UMNO sebagai pembuat keputusan sama ada di dalam parti mahupun dalam kerajaan sedikit banyak telah menjentik hati sayap parti itu.

“Datang bukan sebarang datang, himpun tidak sebarang himpun, walau ribut kemarau pun panjang, meski taufan datang bergulung, Wanita tetap teguh menyokong.

“Memang kadang-kala kita Wanita terasa hati. Begitu penatnya kita bekerja, tapi adakalanya usaha kita dipandang remeh, suara kita diletak ke tepi dan perjuangan kita dipandang sepi.

“Namun kepada Allah kita serahkan segalanya kerana perjuangan Wanita bukan kerana apa, siapa atau kenapa… perjuangan Wanita adalah didasarkan kepada rasa cinta yang jika dikhianati, akan membawa padah kepada yang empunya diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast