Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin hadir ke Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri I Sabah muncul di Menara Dato’ onn untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Teringgi UMNO malam ini.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 8.00 malam di ibu pejabat UMNO itu berkata, mesyuarat yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO itu tidak akan membincangkan situasi di Sabah.

Bung Moktar yang ditemui berkata, beliau menerima keputusan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor untuk mengugurkannya dari Kabinet Kerajaan Negeri.

Tambahnya, keadaan di negeri itu kini kembali tenang.

“Kita bincang untuk kebaikan parti. Sabah sekarang tenang.

“(Datuk Seri terima keputusan digugurkan daripada Kabinet Sabah?) Biasa kita terima. Ini bukan pertama kali. Insya-Allah setiap perjuangan ada perjuangannya.

“(Malam ini isu UMNO Sabah akan dibincangkan?) Tidak. Ini malam short meeting,” kata Bung Mokhtar ringkas ketika beliau menuju ke lif untuk menghadiri mesyurat MKT.

Hajiji semalam mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang menyaksikan pengguguran Bung Mokhtar daripada Kabinet.

Beliau sebelum itu dilaporkan tidak mengiktiraf kerajaan perpaduan Hajiji.

Bung Moktar berpandangan Jemaah Menteri dalam kerajaan diketuai Hajiji Noor bukan Kerajaan Perpaduan seperti mana dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan melantik dua wakil UMNO memegang portfolio menteri termasuk jawatan timbalan ketua menteri dianggap “membelakangkan” parti itu.

Bung berkata, pelantikan mereka tidak mewakili UMNO, selain tidak diiktiraf UMNO Sabah diketuainya.-MalaysiaGazette