ALOR GAJAH – Seorang pekerja bengkel maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum bertembung sebuah kereta di Jalan Paya Rumput berhampiran Kolej Komuniti Masjid Tanah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Othman Abd Ghani, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Cina.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa telah merempuh bahagian belakang sebuah kereta di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum sebuah kereta jenis Honda dipandu guru dari yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arshad, pertembungan itu mengakibatkan mangsa yang parah di kepala, kaki dan tangan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
Guru yang mengajar di sebuah sekolah agama di Kuala Sungai Baru itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette.