demokrasi
(Dari kiri) Mohd. Ridhwan Mohd. Ali, Rospandi Leman, Mohamad Ali Mohamad, Abdul Razak Abdul Rahman dan Hasan Abd. Rahman menyatakan pendirian UMNO bahagian masing-masing agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Cadangan agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai menyekat proses demokrasi dalam parti tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pandangan akar umbi melalui perwakilan termasuk ketua-ketua bahagian yang menyokong cadangan itu juga menunjukkan proses demokrasi dalam parti masih subur.

Beliau menambah, ahli-ahli akar umbi UMNO faham pertandingan jawatan presiden dan timbalannya dalam pemilihan boleh mengakibatkan berlaku keretakan dalam parti.

“Ini sewajarnya kita perlu faham jadi dalam suasana ini kita tidak melihat demokrasi ditutup tetapi adalah demokrasi juga bila ramai suara akar umbi, suara ketua-ketua bahagian ini mewakili demokrasi dalam parti.

“Suara itu sebenarnya tidak inginkan pemilihan dan itu sebenarnya demokrasi, bukan hanya bermaksud dari sudut pertandingan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohamad Ali mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini bahawa sebarang usaha untuk tidak membenarkan pertandingan jawatan Presiden dan timbalannya sebagai menghalang proses demokrasi dalam UMNO.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, lima UMNO bahagian di Melaka menyatakan pendirian supaya jawatan presiden dan timbalannya tidak perlu dipertandingkan demi menjaga kestabilan parti lebih-lebih lagi menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Selain Mohamad Ali, empat lagi ketua UMNO bahagian ialah Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Kota Melaka), Datuk Hasan Abd. Rahman (Jasin), Datuk Rospandi Leman (Alor Gajah – pemangku) dan Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (Hang Tuah Jaya).

Menurutnya, mereka bersepakat dalam hal itu setelah melihat pengorbanan dan jiwa besar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sanggup tidak membubarkan parti walaupun diugut dengan pendakwaan politik.

“Beliau rela turun naik mahkamah demi membersihkan namanya dan berprinsip dalam mempertahankan UMNO supaya tidak dibubarkan,” jelasnya.

Mohamad Ali menambah, UMNO memerlukan presiden yang berpendirian serta bijak mengatur strategi demi kelangsungan parti.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 30 kerusi tetapi hasil kebijaksanaan Presiden dalam mengatur stategi akhirnya UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan dan membolehkan UMNO terus berbakti kepada rakyat,” katanya.

Beliau memberitahu, Ahmad Zahid juga berjaya dalam usaha membangkitkan semula dan memperkukuhkan UMNO walaupun ada pihak menjadi broker pihak lawan untuk menjatuhkannya. – MalaysiaGazette