Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk menentukan soal pertandingan dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu.

Beliau telah mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama residen dan timbalan presiden yang disandang oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid sedar sebahagian ahli UMNO mahu kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan manakala sebahagian lagi berpandangan sebaliknya.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam.

“Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau juga sedar bahawa terdapat gerakan untuk menyingkirkannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah, Ahmad Zahid tahu mengenai rundingan pintu belakang atau Langkah St. Regis yang diatur oleh pihak tertentu dalam UMNO dengan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mencanangkan siapa yang terlibat dan maklumat lanjut tentang gerakan tersebut.

“Kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terlibat, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyelar sikap segelintir pemimpin UMNO yang mempertikaikan fenomena Bossku yang dicetuskan oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebagai faktor yang menyumbang kepada kebangkitan semula parti selepas PRU-14.

Menurut beliau, isu kes mahkamah Najib diulang-ulang walaupun mereka tahu ia adalah pendakwaan politik dan terpilih.

“Terdapat juga segelintir pemimpin dalaman kita sendiri, yang cuba menonjolkan diri, ingin menafikan faktor kebangkitan semula UMNO ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pertandingan presiden atau solidariti hadapi PRN