Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media selepas mendengar ucapan dasar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding  salah satu jawatan tertinggi dalam pemilihan parti akan datang.

Katanya, kesediaan tersebut bergantung kepada keputusan UMNO sama ada akan mengadakan pemilihan bagi dua jawatan tertiggi parti itu iaitu presiden dan timbalan presiden.

“Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini, dan kalau sekiranya keputusan PAU ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang.

Ketika ditanya tentang jawatan yang sedang diintainya ketika ini, beliau enggan mengulas, sebaliknya mahu mengunggu keputusan pemilihan itu diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan parti itu.

“Kena tunggu ada pertandingan atau tidak,” katanya lagi.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan perwakilan UMNO supaya tidak menjadikan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) kali ini sebagai platform untuk menyerang dan berbalahan sesama sendiri.

Beliau berkata, ini kerana rakyat sudah muak dan bosan dengan cara orang UMNO menguruskan krisis dalaman dengan menggunakan pendekatan negatif.

“Saya nak ingatkan semua pihak, orang ramai di luar sana sudah muak dan mual, bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama kita.

“Saya harap apa yang kita bincangkan dalam PAU tahun ini mengenai hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

“Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita. Sedarlah cukup cukuplah,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Tambahnya, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO mahu melihat parti itu bersiap sedia bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada pertengahan tahun ini.

“Penting untuk kita parti lihat ke hadapan, kita akan berdepan dengan PRN, (kerana) kita sudah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.