Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang jurugambar kerugian sebanyak RM38,200 akibat terpedaya tawaran pekerjaan sambilan secara atas talian di Rompin hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata magsa telah ditawarkan bagi membuat ulasan pada laman Google Maps dan dijanjikan komisyen bagi setiap ulasan yang dilakukannya.

“Mangsa merima Whatsapp, kononnya suspek melihat permohonan di laman Job Street dan ingin menawarkan kerja membuat review pada laman Google Maps dengan mendapat keuntungan komisyen bagi setiap review.

“Mangsa mula percaya dan membuat empat kali pindahan wang ke dua akaun bank yang berlainan,” katanya menerusi kenyataan.

Ramli berkata, mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja milik ayahnya untuk transaksi yang dibuat.

Tambah beliau, jurugambar itu yang merasakan tertipu kerana tidak mendapat hasil seperti yang dijanjikan membuat laporan polis di balai berhampiran.

Berikutan itu, Ramli menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang tinggi.

Orang ramai diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette