KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan enam buah kenderaan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Bukit Raja, Klang pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi yang menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 7.47 pagi menghantar sepasukan enam anggota dan sebuah jentera dari balai Shah Alam ke lokasi kemalangan.
“Selepas tiba di tempat kejadian pada jam 7.51 pagi tadi anggota bomba mendapati hasil pemerhatian lanjut berlaku kemalangan jalan raya membabitkam enam buah kenderaan yang melanggar belakang kenderaan secara berturut-turut.
“Anggota bomba memeriksa di dalam enam kenderaan itu sebelum mendapati tiga orang mangsa tersepit di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba juga mendapati dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kemalangan.
Menurut Norazam, kedua-dua mangsa itu mengalami kecederaan parah akibat tersepit.
“Manakala, seorang lagi mangsa tersepit pula telah dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas dan memotong kereta mangsa.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa ketiga yang dikeluarkan itu telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam nahas tersebut oleh pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian itu,” ujarnya.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti lelaki warga Indonesia, A Rahman Md Amin berusia 57 tahun dan mayatnya telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, dua mangsa yang yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette