Pembahas, Syarul Amin Ismail berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO masih lemah untuk membina naratif menggunakan media baharu berbanding parti lawan yang dilihat agresif menggunakan kaedah itu.

Perkara itu dapat dilihat apabila parti lawan berjaya menguasai media sosial sekali gus berjaya mempengaruhi minda pengundi muda khususnya pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, kata wakil mahasiswa, Mohamad Syarul Amin Ismail.

“Kita dilihat tercungap-cungap membina naratif dalam media baharu. Musuh berjaya menggunakan medium media baharu sebagai platform membina persepsi awam yang memihak mereka.

“Malah terdapat juga laporan di sebuah akhbar bertarikh 18 November 2022, menyatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) membayar sehingga RM50,000 kepada seorang pempengaruh media sosial (influencer), itu baru seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  di sini hari ini.

Mohamad Syarul mendakwa, pempengaruh dan selebriti di media sosial berkenaan diupah oleh PN namun usaha seperti itu tidak dilakukan oleh UMNO yang masih kurang berminat untuk melabur’ dalam medium media baharu itu.

Ujarnya, UMNO masih bermain dengan ruang lingkup pengundi putih yang masih dibangga-banggakan sehingga kini.

“Soalnya, seputih mana? Media baharu bukan sahaja untuk kempen pilihan raya tetapi juga dapat digunakan sebagai medium edukasi UMNO dan BN terutama kepada golongan remaja dan belia,” tambahnya.

Beliau berkata, UMNO perlu bersifat kritis dalam menyuarakan keluhan rakyat selain menyelesaikan segera isu yang membabitkan agama dan bangsa supaya pihak pembangkang tidak mempunyai modal politik.

“Namun pada masa sama, UMNO juga perlu juara dalam isu ekonomi, sosial dan lain-lain. Ahli UMNO di peringkat cawangan hingga ke bahagian perlu mahir dalam penerangan mengenai sosio ekonomi manakala pemimpin Wanita, Pemuda serta Puteri pula perlu bersifat lebih profesional dalam menerangkan hala tuju UMNO kepada akar umbi,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga mewakili UMNO Siswa mencadangkan supaya ‘rejuvenasi’ UMNO disegerakan dan perlu menjadi agenda utama parti dalam mendepani senario politik lima tahun mendatang.

Katanya, golongan muda dalam UMNO perlu menjadi jentera kerja kepada parti khusus dalam menarik minat pengundi muda.

“Beban untuk melatih kader serta menarik pengundi muda ini juga tidak boleh diletakkan kepada seseorang individu sahaja, sebaliknya sayap Pemuda dan Puteri UMNO perlu menjadi barisan hadapan dalam menanggapi perkara ini.

“Justeru kami mencadangkan pendidikan politik kepada remaja bermula pada usia 15 tahun digerakkan segera dan adik-adik kita sekarang ini berada di sekolah menengah perlu diberi pendedahan politik yang secukupnya bagi menyediakan mereka untuk menjadi pemilih yang bijak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast